Isu Hak Cipta & Royalti

Tuesday, July 06, 2010

Isu hak cipta dan bayaran royalti bukanlah isu asing lagi dalam bidang seni di negara kita, terutama sekali dalam bidang teater. Menurut Wikipedia, hak cipta bermaksud "set hak ekslusif yang mengawal penggunaan sesuatu pernyataan idea atau maklumat. Dalam kebanyakan kes, hak-hak ini adalah untuk tempoh yang terhad. Simbol untuk hak cipta ialah ©, dan di sesetengah bidang kuasa, simbol itu boleh digantikan dengan (c)."

Royalti pula bermaksud "bayaran berasaskan penggunaan yang dibayar oleh satu pihak ("pemegang lesen") kepada pihak lain ("pemberi lesen") untuk suatu aset yang sedang digunakan, sebagai hak harta intelek.".

Dalam konteks pementasan teater, royalti bermaksud sejumlah bayaran yang diberikan kepada pencipta sesebuah karya tersebut. Sebagai contoh, karya "A" ciptaan "Ali" dipentaskan oleh pihak "B". Maka kutipan hasil daripada pementasan karya "A" haruslah disalurkan kepada "Ali" mengikut peratusan/jumlah yang ditetapkan/dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak.

Hak cipta dan royalti memainkan peranan yang sangat penting dalam industri teater. Hak cipta melindungi keaslian dan hak milik sesebuah karya tersebut. Tanpa hak cipta, karya seseorang itu begitu mudah ditiru/diciplak dan akhirnya pemilik sebenar karya tersebut tidak dapat disahkan. Hal ini akan mengancam industri teater kita kerana karya-karya ciplak akan berleluasa dan kualiti industri teater akan semakin merudum. Bayaran royalti juga adalah penting supaya penghargaan dapat diberikan kepada pencipta sesebuah karya. Bagaimanapun, pembayaran royalti adalah tertakluk kepada budi bicara pencipta karya tersebut.

Tronoh Theatre Shop sebagai sebuah persatuan teater turut mengambil berat tentang isu hak cipta dan royalti ini. Kami sentiasa meminta izin terlebih dahulu sebelum mementaskan sesebuah karya daripada pencipta karya tersebut. Sebagai contoh, kami tidak mendapat keizinan daripada Dinsman untuk mementaskan "Menunggu Kata Dari Tuhan" dan oleh sebab itu, Akin Muhammad telah membuat skrip baru bertajuk "Belenggu 50" yang diilham/diinspirasikan daripada "Menunggu Kata Dari Tuhan". (Sila rujuk lampiran daripada akhbar Harakah di bawah)

Selain itu, Tronoh Theatre Shop sering mementaskan karya pengasas TTS, Dr. Shark (Ooops, kami terlupa memberi royalti!). Tetapi kepada pihak lain yang ingin mementaskan karya beliau haruslah mendapat keizinan beliau terlebih dahulu dan bayaran royalti juga harus diberi.

Kesimpulannya, hak cipta dan royalti haruslah diambil berat oleh semua pihak agar kita dapat mengekalkan malah meningkatkan lagi kualiti teater di tanah air. Sekian.


Lampiran:




1 kritikan :

Pegawai Khalwat said...

Aku akan cuba e-mail Pak Dinsman lepas ni. Maaf kalau buat beliau tersentuh.

Tak bermaksud begitu, kerana aku merujuk kepada naskhah beliau secara direct, bukan secara umum.

Aku faham perjuangan beliau kerana aku juga ada baca Buku Merah itu.