Akhbar KOSMO!: Ekspresi Mime

Friday, May 6, 2011


Liputan "Ash In The Ashes: The Mime Show" di dalam Kosmo! Rencana Utama - 25 April 2011
Seni lakonan tanpa suara
Oleh AMMAR JAZLAN MAD LELA

LELAKI itu leka menatap cermin meja solek di hadapannya. Tangannya membelek satu-persatu peralatan alat solek dalam beg yang dibawa. Di dalamnya ada gincu, celak mata dan bahan pewarna muka.
Dia mengambil span nipis lalu menyapu bahan pewarna yang berwarna putih itu di sekeliling wajahnya.
Sebaik selesai, dia mencalitkan pula gincu berwarna merah terang itu ke bibirnya. Keningnya juga dibentuk dan dihitamkan dengan menggunakan celak.

Asyraf Nazmie Abd. Halim atau lebih mesra dengan panggilan Ash itu sekali lagi membelek wajahnya di sebalik cermin. Dia tersenyum, solekan yang mirip seperti badut itu nampak sempurna di matanya.


“Solekan muka merupakan ciri-ciri kostum tradisional dalam persembahan mime (seni lakonan tanpa suara). Begitu juga sarung tangan putih, topi hitam dan baju berbelang hitam putih.

“Bagaimanapun, perubahan zaman menyebabkan ia dianggap klise, majoriti penggiat mime moden tidak lagi menggunakan kostum begini,” kata anak kelahiran Batu Gajah, Perak itu.

Ash mengambil tempatnya di atas pentas. Sebentar lagi dia dan rakannya, Asyraf Maskan akan menjayakan teater Ash in The Ashes: The Mime Show yang berlangsung di Auditorium Taman Budaya Kuala Lumpur itu.
Hatinya berdebar-debar. Ini kali pertama mereka berdua akan mempersembahkan mime dalam bentuk teater di hadapan penonton.

Lazimnya persembahan mime hanya mengambil masa 10 hingga 15 minit sahaja, kali ini ia akan berlangsung hampir satu jam. Lagi pun teater jenis itu masih lagi asing dalam kalangan peminat seni tempatan.

Sebaik sahaja lampu dinyalakan, kedua-duanya mula beraksi. Suasana sunyi sepi itu sekali-sekala dipecahkan dengan garapan muzik bagi menghidupkan persembahan.

Teater itu mengisahkan kehidupan seorang model bernama Ash yang melalui pelbagai halangan dalam kehidupan dalam menemui cinta sejati bersama kekasihnya, The Magician.

Disiplin mime

MARCEL MARCEAU antara penggiat dari Perancis yang berjaya mempopularkan mime di seluruh dunia.

Persembahan itu berlangsung dengan jayanya. Tepukan penonton sebaik sahaja ia tamat membuktikannya. Ash gembira, nyata latihan berbulan-bulan sebelum ini berbaloi.

Penuntut tahun akhir Sarjana Muda Sistem Informasi Perniagaan di Universiti Teknologi Petronas (UTP) itu memberitahu meminati mime kerana keunikannya.

Akuinya, berbanding teater atau lakonan biasa, mime menuntut disiplin yang tinggi serta latihan yang berterusan sebelum seseorang itu boleh menguasainya.

Lebih-lebih lagi, ia dipersembahkan tanpa dialog dan menggunakan alatan lakonan yang minuman.

Ujarnya, antara elemen penting dalam persembahan itu ialah bahasa tubuh di samping ekspresi wajah yang bertepatan dengan plot cerita.
“Pada masa yang sama, penggiatnya perlu kreatif dan mempunyai daya imaginasi yang tinggi ketika beraksi. Misalnya, aksi memegang gelas, biarpun ia hanyalah ilusi, saya perlu membayangkannya seolah-olah ia wujud,” katanya.

Biarpun ramai mengaitkan seni itu dengan negara Perancis, namun mime dikatakan telah wujud sejak zaman pemerintahan tamadun Yunani dan Rom.

Ketika itu, penggiat-penggiat mime memakai topeng sambil menghiburkan ribuan penonton di panggung seni mime dikenali sebagai Hipotesis. Bangsa Rom kemudiannya telah mengembangkan seni itu ke Itali selepas mereka menguasai Greece.

Pada tahun 1811, mime mula dikembangkan di Perancis oleh Jean Gaspard Batiste Deburau. Dia kemudiannya mengembangkan dan memodenkan mime sehingga ia mula bertapak kukuh di sana.
Sejak itu, mime mempunyai peminat dan pengikutnya serta mula diiktiraf sebagai salah satu cabang seni yang kemudiannya berkembang di seluruh dunia termasuk di Malaysia.

Pengarah teater Ash in The Ashes: The Mime Show, Dr. Shamsul Rahman Mohamed Kutty berkata, seni mime telah lama berkembang di negara ini, tetapi hanya segelintir sahaja yang berminat mendalaminya.

“Selama ini, mime sering menjadi selingan dalam persembahan teater atau pentas serta komedi oleh penghibur jalanan. Bagaimanapun, kali ini kami cuba mengolahnya dalam bentuk teater berskala penuh. Sebanyak 11 plot cerita digabungkan serentak dengan elemen-elemen muzikal bertujuan mempopularkan seni ini dalam kalangan peminat teater tempatan,” katanya yang juga merupakan pengasas, Tronoh Theatre Shop (TTS), sebuah kelab teater yang aktif di UTP.

BIARPUN hanya bersandarkan dua watak namun, teater Ash in the Ashes: The Mime Show tetap menghiburkan.

Syamsul berkata, mime lazim dipersembahkan dalam dua bentuk iaitu abstrak atau literal.

Katanya, persembahan abstrak tidak memiliki plot atau watak utama tetapi lebih kepada ekspresi perasaan yang digunakan untuk membangkitkan idea-idea tentang sesuatu subjek yang serius.

“Sementara itu, persembahan literal pula sering menggunakan elemen komedi dan penceritaan. Gerak-geri dan visual menunjukkan plot cerita yang jelas dan biasanya diakhiri konflik lucu yang dialami watak utama.

“Bagaimanapun dalam teater, kedua-dua elemen ini adakalanya digabungkan. Ia juga disesuaikan dengan elemen-elemen moden seperti muzik dan alatan lakonan yang sesuai dengan watak dan plot cerita,” jelasnya.

Minat pelajar kejuruteraan

Biarpun mempunyai latar belakang di dalam bidang kejuruteraan awam dan merupakan salah seorang pengajar kursus itu di UTP, namun Syamsul tidak kekok untuk mengembangkan seni mime di negara ini.
Katanya, dia mempelajari seni itu ketika melanjutkan pelajaran di peringkat doktor falsafah di Universiti Memphis, Amerika Syarikat sekitar tahun 1997 dahulu.

“Ketika itu, ia lebih kepada kepuasan diri kerana minat yang mendalam dalam bidang seni khususnya teater. Keunikan seni ini menyebabkan saya bertekad untuk mengembangkannya. Melalui TTS yang ditubuhkan pada 2003, saya berpeluang mencurahkan ilmu yang ada sekali gus melahirkan bakat-bakat baru dalam seni ini,,” katanya.

Salah seorang pelajarnya, Asyraf atau Acab melakonkan watak The Magician. Pemudah itu memberitahu, dia teruja mempelajari mime kerana tertarik dengan falsafah seninya.

“Ia bukan sekadar persembahan biasa sebaliknya turut melontarkan isu-isu sosial berkaitan masyarakat, politik dan sebagainya,” katanya.

Acab berkata, biarpun seni itu tampak mudah dan menghiburkan, namun ia sangat mencabar mental dan fizikal.

“Perkara asas yang perlu diketahui adalah bagaimana berinteraksi dengan penonton menggunakan bahasa tubuh dan ekspresi wajah secara semula jadi.

“Ia memerlukan disiplin tinggi dan proses latihan panjang, lebih-lebih lagi ketika menguasai watak dan plot cerita yang dijayakan,” katanya yang berlatih di hadapan cermin dan mempelajari teknik-teknik mime di laman Youtube.
elasnya penuh berfalsafah, penggiat mime boleh diibarat seperti memiliki tubuh ahli gimnastik, minda seorang pelakon dan jiwa seorang penyair.

Tambah Acab, sama ada melakukan persembahan secara solo, duo atau berkumpulan, apa yang penting adalah bagaimana menjadikan sesuatu persembahan itu menghiburkan dan tidak jemu ditonton.

“Di sinilah terletaknya kreativiti seseorang penggiat mime, biarpun apa yang dilakukan hanyalah ilusi, namun mereka perlu bijak memanipulasikannya seperti ia benar-benar wujud,” jelasnya.

Bagi Syerina Ahmad Khan, dia gembira kerana pertama kali berpeluang menonton persembahan mime apatah lagi, dalam bentuk teater.

“Sebelum ini, saya sering menonton teater biasa dan teater muzikal, tidak banyak yang diketahui mengenai mime.

“Ibarat menonton sebuah persembahan bisu, penonton perlu peka dengan apa yang berlaku di atas pentas untuk memahaminya,” katanya.

Menganggapnya sebagai pengalaman baru dan menarik, dia yakin mime berpotensi untuk dikembangkan dan bakal mempunyai peminat serta pengikutnya sendiri satu hari nanti.

_________________________________________________________________________


Terima kasih kepada Kosmo! kerana telah sudi membuat liputan mengenai persembahan kami ini.

2 kritikan :

mashimaro comel said...

tahniah! rencana utama tu. teruskan kecemerlangan anda semua dalam seni teater. perjuangan seni hanya untukNya. :D

Asyraf Maskan said...

terima kasih kak salju :)