TTS @ English In Camp - Through A Drama Workshop

Tuesday, November 3, 2009

Pada 31 Oktober dan 1 November 2009 (Sabtu - Ahad) yang lalu, sebahagian daripada ahli TTS telah terlibat menjadi fasilitator dalam program English In Camp (Through A Drama Workshop) anjuran All About Communique Sdn Bhd di SMK Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Perak. Seramai 11 orang ahli TTS telah menjadi fasilitator termasuk Dr Shark dan En. Muhammad Md Haris. Seramai lebih kurang 220 orang murid terdiri daripada murid tingkatan 1 dan 3 terlibat dalam program tersebut.


exercise yg dijalankan oleh Dr.Shark

ketika menjalankan pelbagai jenis modul


Pada sesi pagi hari pertama, semua murid berhimpun di astaka sekolah dan aktiviti latihan pemanasan badan asas dijalankan oleh Dr Shark sebagai ketua fasilitator. Aktiviti latihan asas lontaran suara juga turut dijalankan. Rata-rata murid-murid tersebut tidak pernah terdedah dengan latihan lontaran suara dan mereka kelihatan seronok dan tertarik dengan aktiviti tersebut. Selepas selesai sesi latihan pemanasan badan dan lontaran suara, murid-murid dibahagikan kepada 11 kumpulan dengan 20 orang murid dan seorang fasilitator bagi setiap kumpulan.

Program diteruskan dengan sesi berkenalan di antara fasilitator dan murid-murid dalam setiap kumpulan. Sesi berkenalan tersebut dilakukan dengan sedikit kelainan di mana setiap murid perlu memperkenalkan diri masing-masing dengan dengan bangga beserta gaya dan postur badan yang pelik. Kemudian aktiviti diteruskan dengan beberapa permainan dalam modul ekspresi vokal melalui emosi. Selain itu juga, beberapa permainan rutin TTS turut dijalankan mengikut kehendak para fasilitator.


en. Mad dalam sesi make-up



Pada sesi petang pula, murid-murid didedahkan dengan pembinaan karaktor dan teknik 'Theater of The Oppressed'. Dalam aktiviti pembinaan karaktor, kebolehan untuk murid-murid berlakon secara spontan melalui karaktor yang diwujudkan telah mencabar kebolehan mereka. Ada yang malu-malu untuk berlakon, namun ada juga yang berjaya melakukan aktiviti tersebut dengan keyakinan. Semasa aktiviti sepanjang petang itu berlangsung, Che Mad Haris pula memberikan pendedahan tentang make-up dan melakukan sedikit demonstrasi kepada beberapa murid yang terpilih.

Aktiviti pada waktu malam adalah membaca skrip karya William Shakespeare iaitu The Tragedy of Macbeth. Dr Shark menjalankan aktiviti tersebut dalam tiga pusingan. Pertama, Dr Shark menerangkan tentang tafsiran skrip tersebut baris demi baris. Kemudian, demonstrasi lakon oleh beberapa orang fasilitator melalui dua versi, pertama versi normal, kedua versi gila. Dapat dilihat bahawa murid-murid lebih menggemari lakonan versi gila tersebut. Kemudian, dalam pusingan ketiga, demonstrasi lakon versi gila dibuat lagi sekali dengan Dr Shark bertindak sebagai direktor, menerangkan kepada murid-murid apa yang boleh ditingkatkan dari segi lakonan. Selesai aktiviti membaca skrip itu, maka tamatlah hari pertama program ini.

malam ketika demonstrasi lakon Macbeth



Pada hari kedua, murid-murid diberikan tugasan untuk menulis skrip, menjalankan latihan dan akhirnya mementaskan sebuah persembahan berdasarkan skrip yang mereka tulis. Pagi sesi pagi, murid-murid dikehendaki menulis skrip pendek berdurasi 5 minit berdasarkan situasi yang telah dipilih oleh setiap kumpulan. Kemudian pada sesi petangnya pula, setiap kumpulan perlu berlatih dan akhirnya menjalankan full rehearsal di atas pentas.




beberapa gambar yang sempat diambil sewaktu persembahan dan sesi bergambar bersama fasilitator


Waktu malam adalah masa yang dinanti-nantikan, iaitu malam persembahan daripada setiap kumpulan. Kesemua fasilitator telah menjadi hakim persembahan pada malam itu. Pelbagai kerenah, gelagat dan aksi dapat dilihat sewaktu persembahan tersebut. Selesai kesemua 11 persembahan, fasilitator berkumpul untuk menentukan pemenang-pemenang pada malam itu. Selepas itu pula, Aini yang menggantikan tempat Dr Shark pada hari kedua, bertindak sebagai Ketua Juri memberi sedikit komen berkenaan persembahan di mana kebanyakannya masih tidak berjaya melontarkan suara mereka dengan betul. Kemudian, banyak juga masalah blocking dan spacing yang telah berlaku sepanjang persembahan. Perkara-perkara asas ini seharusnya perlu diberikan lebih perhatian oleh murid-murid, malah fasilitator dan penganjur program ini untuk masa akan datang.

Tibalah masa yang ditunggu-tunggu untuk mengumumkan para pemenang. Berikut adalah keputusannya:

Pelakon wanita terbaik - Adik Iffah (Watak 'Babyboy's Mom', situasi "Fresh Market", fasilitator Tasha Zamri.)

Pelakon lelaki terbaik - Adik Syahir (Watak 'Perompak yang menyamar sebagai pondan', situasi "Bank Robbery", fasilitator Azmi Yaacob.)


Persembahan terbaik:

Tempat ketiga - "Eid Celebration" (Fasilitator: Azizi Aziz)

Tempat kedua - "Fresh Market" (Fasilitator: Tasha Zamri)

Tempat pertama - "Bank Robbery" (Fasilitator: Azmi Yaacob)


Selepas selesai pemberian hadiah, murid-murid bergambar bersama fasilitator masing-masing sebelum pulang dan tamatnya program ini.

Buat makluman semua, ini adalah kali pertama TTS terlibat dalam program sebegini. Di kesempatan ini juga, pihak kami ingin merakamkan setinggi penghargaan kepada pihak penganjur yang sudi menjemput kami dan memberikan kepercayaan kepada kami untuk memberikan khidmat bakti sebagai fasilitator program.

Semoga usaha kita semua diberkati dan diredhai.

3 kritikan :

Syafiq Effendi Faliq Alfan (SEFA) said...

a really good experience.......best la budak bainun!

k e r e p e k t e m p e said...

sayang tak dapat rosakkan budak2 ni arituh~ haha

Half said...

acab.. aku takut dorang buli ko je..
ye la kan..
nasib baik ko tak ikut..
ko harus bersyukur..
hahaha