Pasca Pementasan KERUSI

Tuesday, November 18, 2008

30 Oktober 2008 (Khamis) - Tronoh Theatre Shop (TTS) telah berjaya mementaskan sebuah teater berjudul "Kerusi" karya Hatta Azad Khan di Dewan Serbaguna Universiti Teknologi PETRONAS (UTP). Pementasan kali ini adalah anjuran TTS sepenuhnya dan merupakan pementasan terakhir buat semester Julai 2008 di UTP.



.......Tuta-tuta 'bermain' dengan durian .............. .........Seluruh 'tampok pemerintahan' Kerusi


Malam tersebut dimeriahkan dengan jemputan khas 30 orang murid dari SMK(A) Sultan Azlan Shah. Pelajar UTP juga tidak ketinggalan untuk memenuhkan dewan pada malam itu. Pukul 9.15 malam, upacara dimulakan dengan ucapan ringkas oleh Dr Shamsul Rahman Mohamed Kutty selaku Penaung TTS merangkap pengarah bagi teater Kerusi ini. Kemudian tirai pentas dibuka dengan persembahan istimewa "Taqdir" yang telah memenangi Pertandingan Drama Nilai-nilai Kemanusiaan di Universiti Malaya (UM) pada 19 Oktober yang lalu.



.......... Putra bersiap hendak berlawan.......................Tuta-tuta Tuta Utama dengan 'agendanya'



.....Srisegala merancang 'permainannya'.............. Srisegala megah di Kerusi dengan Jin di sisinya


Selepas itu, sebuah sajak bertemakan bangsa telah dideklamasikan oleh salah seorang alumni TTS iaitu Mohd Faisal bin Aziz sebagai selingan pada malam itu. Buat makluman, Mohd Faisal yang lebih mesra dipanggil 'Pacel' oleh ahli-ahli TTS yang lain telah pun bekerja sebagai jurutera di Petronas Carigali Sdn Bhd (PCSB) berpusat di KLCC. Meskipun sibuk dengan tugas dan tanggungjawab, beliau tetap mampu turun padang untuk berlakon bersama-sama dengan TTS di dalam teater Kerusi ini.



.Masayu bersedih suaminya, Putra dikurung.....................Srisegala memperdaya Masayu



.....Wira-wira yang menentang Srisegala...................Putra menurunkan ilmu kepada Wira-wira


Lebih kurang pukul 10 malam, tirai dibuka buat kali kedua untuk persembahan yang ditunggu-tunggu iaitu KERUSI. Babak demi babak berjaya dilakonkan dengan baik oleh semua pelakon walaupun terdapat beberapa kesilapan dari segi dialog dan juga teknikal. Respon penonton adalah baik. Lebih-lebih lagi semasa babak Srisegala bersama Masayu dan babak Putra bersama Masayu. Ini menunjukkan keberkesanan watak yang dibawa oleh setiap pelakon di atas pentas.



Curtain call pelakon-pelakon Kerusi


Namun begitu, pementasan Kerusi pada malam itu hanyalah sebagai satu platfom latihan untuk seluruh warga produksi sebelum menemui para peminat teater di Taman Budaya Negeri Perak, Ipoh pada 13-14 Disember 2008, pukul 8.30 malam. Masuk adalah percuma.

0 kritikan :