Review Teater Tuah Hang Jebat

Wednesday, June 23, 2010

Assalamualaikum wbt/selamat sejahtera.

Teater Tuah Hang Jebat sudah melabuhkan tirainya pada 17 Jun 2010 di Taman Budaya KL. Yang pastinya, pementasan teater THJ ini telah mengaut kutipan tiket sebanyak RM2,000. 30% daripada hasil kutipan tiket ini akan disumbangkan ke Rumah Anak Yatim Budi Mulia Nurul Huda, Chemor, Perak.

Persembahan dimulakan dengan Mime oleh Half, Ash, Ammar, dan Dr. Shark sendiri. 3 Mimes telah dipersembahkan dengan tajuk Cincai Fighting, Half's Stuck, dan Father Baby. Kemudian, diikuti dengan sketsa pendek yang bertajuk Nasi Lemak 10 Sen. The Qum Actors telah membintangi Nasi Lemak 10 sen yang terdiri daripada Pacel (CEO/owner TQA), Ainifadhilah, Hissamuddin (President TTS), dan Aizuddin. TQA adalah alumni bagi TTS yang bertapak di Kuala Lumpur.

Persembahan pada 16 hb diserikan dengan kehadiran Puan Noorsiah (Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian KL), Puan Mulia Ayu Ramli (Pegawai Jabatan Kebudayaan dan Kesenian KL), dan En. Shaiful Nizam. Manakala malam seterusnya kami menerima kunjungan daripada Pn Juniwati Rahmat Hussin, Vice President HRM, PETRONAS. Secara keseluruhannya, kehadiran TTS buat kali kedua di Taman Budaya Kuala Liumpur ini berjaya mencapai sasaran yang ditetapkan. Bilangan penonton yang hadir adalah memberangsangkan dan feedback penonton juga amat positif.





Jutaan terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung, terutama sekali Taman Budaya KL atas kerjasama erat yang diberikan. Tidak juga kepada para penyokong TTS yang hadir ke pementasan kami kali ini.

(Gambar-gambar pementasan akan menyusul kemudian)

Berikut adalah review daripada CEO TQA, Saudara Pacel;

Assalamualaikum...

Terima kasih kepada semua yang telah menjayakan teater Tuah Hang Jebat (THJ) selama 2 malam berturu-turut (16 dan 17 Jun) di Taman Budaya Kuala Lumpur. Terima kasih yang tak terhingga juga diucapkan kepada pihak Taman Budaya yang telah memberi kerjasama yang baik sebelum semasa dan sesudah THJ. Terus kepada persembahan pada kedua kedua malam.

Secara amnya persembahan THJ pada malam tersebut berjaya menyentuh satu titik mentaliti penonton supaya berfikir di luar kotak akan maksud kelainan naskah Tuah Hang Jebat berbanding kisah hikayat Hang Tuah yang biasa kita dengar dan baca. Olahan skrip yang segar dengan suntikan suntikan Islam mempersoalkan apakah selama ini keris Tamingsari yang diagung agungkan itu benar benar membawa kekebalan kepada Hang Jebat atau Hang Tuah. Namun yang pastinya, keris tersebut hanyalah alat namun yang berkuasa menentukan hidup mati seseorang hanyalah pemegang takdir kesemua manusia iaitu Allah.

Beberapa adegan di dalam THJ juga telah menadapatasi kisah kisah yang diceritakan di dalam Alquran dan hadis. Contohnya kisah Tun Teja menarik belakang baju Hang Tuah sehingga terkoyak ketika Tun Teja cuba menggoda Hang Tuah supaya bermukah dengannya. Kisah ini juga boleh didapati ketika mana Nabi Yusuf digoda Zulaikha kerana ketampanan Nabi Yusof tiada tara bandingnya.

Begitu juga adegan terakhir ketika Tuah cuba membunuh Jebat menggunakan Tamingsari. Tikaman Tuah tidak lut. Maka Jebat mengatakan kepada Tuah “Kalau kau ingin membunuhku, maka sebutlah nama yang menentukan takdir hidup ku”. Nama siapa lagi kalau tidak Allah. Bagi saya sentuhan sentuhan beginilah yang mampu membawa kelainan dalam naskah THJ baru baru ini.

Memang tidak dapat dinafikan lagi bahawa pelakon pelakon TTS adalah terdiri daripada mereka yang berbakat dan juga mereka yang mempunyai asas teater yang kuat. Kekuatan vokal hampir kesemua pelakon sangatlah memberansangkan. Cuma ada beberapa pelakon yang masih perlu digilap mutu lontaran vokalnya. Terutama watak Melur, Dang Anum, pengawal istana, serta tiga ‘Hang’ yang lain. Namun, terdapat ‘wow’ faktor untuk vokal Melur dan Dang Anum. Suara kedua dua mereka sangat sesuai sebagai seorang gadis Melayu lama.

Bagi watak lakonan Hang Tuah dan Hang Jebat, masing masing punya standard yang bagus. Namun pengalaman Tuah yang sudah banyak berlakon dalam naskah naskah Dr Shark menjadikan lakonannya lebih matang dan berkarisma. Sebagai Hang Jebat, bakat yang ditonjolkan seakan member janji bahawa bakat inilah yang mampu menyinar di masa akan datang. Namun Jebat perlu berhati hati dengan lontaran vokalnya, terkadang di akhir akhir cerita Jebat kelihatan lelah dan ini mungkin mengganggu kehebatan vokalnya.

Nisa yang melakonkan watak Tun Teja tampil denagn watak yang sangat menjadi. Kekuatan vokalnya jelas, dan cara beliau menggoda Hang Tuah sampai maksudnya sehingga kadang kadang membuat penonton tidak senang duduk. Bagi saya, Nisa telah memperbaiki mutu lakonannya jika dibandingkan penampilannya sewaktu Bangsawan Tuah Hang Jebat dahulu. Kudoss

Lakonan Inangda yang dimainkan oleh Atul sangat berkesan. Terserlah kejahatan Inangda dalam merancang rencana jahat supaya difitnah Hang Tuah dan lantas dihalau dari istana. Namun Atul perlu lebih banyak mencuba watak watak lain yang mampu mencabar gaya lakonannya. Kalau ditimbang kekuatan watak Inangda, pentingnya Inangda adalah kejahatannya yang menyebabkan kematian Jebat. Tidak faham? Cuba fikirkan akibat kejahatan yang dilakukan Inangda.

Watak Patih Karmawijaya memang tidak dapat dinafikan kehebatannya. Gayanya yang sememangnya menaruh dendam terhadap Hang Tuah memang menjadi. Cuma ada beberapa waktu di mana suara Patih Karmawijaya jatuh dan menganggu ‘energy’ lakonannya. Terutama sewaktu adegan di dalam bilik Tun Teja ketika Tuah dan Teja tertangkap. Lebih tepat ketika beliau mengancam untuk Teja untuk mengadu hal tersebut kepada Sultan.

Kewibawaan watak Sultan Melaka yang dibawa oleh Usop sangat membanggakan. Beliau berajaya membawa aura angkuh seorang Sultan. Kemurkaannya jelas terpancar dimuka bengis beliau. Cuma beliau harus berhati hati ketika meninggikan suaranya. Namun Sultan Melaka memang nampak kehebatannya. Mungkin setelah beberapa tahun bergiat aktif di dalam TTS, maka inilah hasilnya.

Secara amnya, TTS bagi saya telah banyak melahirkan pelakon dari ‘zero’ kepada ‘something’. Tahniah saya ucapkan kepada Dr Shark yang telah melatih bakat bakat baru ini. Sehebat mana pun bakat yang ada, bagi saya yang penting adalah tekad dan komitmen. Tekad dan komitmenlah yang menentukan kemalaran seseorang di pentas. Sedia belajar dan menerima teguran adalah sangat sangat penting. Tidak malu untuk mencuba watak watak baru dan berani untuk menonjolkan karakter karakter baru berdasarkan kreativiti masing masing. Hanya dengan cara begitu mutu lakonan akan meningkat.

Apa pun, secara kolektifnya, ada beberapa bahagian perlu diambil kira. Dari aspek solekan, ahli TTS perlu diajar asas asas solekan. Solekan sangat penting untuk menaikkan seri watak seseorang pelakon. Dengan solekan membuatkan penonton percaya bahawa watak yang ditontonnya adalah seorang budak, orang tua, gagak, kambing atau apa saja.

Pemilihan watak perlu juga diambil kira supaya watak watak yang diberikan kepada pelakon adalah sangat bersesuaian untuk dilakonkannya.

Apa apa pun saya sangat berpuas hati dgn teater Tuah Hang Jebat. Kepada TTS, selamat maju jaya!

0 kritikan :