Ash in The Ashes: The Mime Show

Saturday, March 19, 2011


Assalammualaikum dan salam sejahtera.

Pada 12 dan 13 Mac 2011, telah berlangsungnya persembahan Ash in the Ashes: The Mime Show di Auditorium Taman Budaya Kuala Lumpur. Mime atau seni lakonan tanpa suara mungkin masih lagi baru di Bumi Malaysia dan dengan tertubuhnya The Qum Actors, TQA (Alumni kepada Tronoh Theatre Shop) di Kuala Lumpur, adalah menjadi salah satu misi TQA bagi menaikkan semula satu cabang seni lakonan ini khususnya di Malaysia. Berpendapat bahawa Mime merupakan salah satu seni lakonan yang mungkin bukan baru, tetapi hanya segelintir sahaja yang mempunyai minat untuk mendalami seni lakonan yang menarik ini.

Dengan usaha sama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Kuala Lumpur, Taman Budaya Kuala Lumpur dan TTS, TQA mencambahkan idea bagi menganjurkan persembahan Mime berskala penuh yakni menyamai persembahan teater penuh. Kebiasaannya persembahan Mime adalah dalam tempoh masa yang singkat iaitu dalam tempoh masa 10 minit atau maksimum 15 minit. Maka dengan itu, persembahan Ash in the Ashes: The Mime Show pada musim ini boleh dilabel sebagai persembahan Mime berskala penuh yang pertama di Malaysia. Berikut merupakan suasana sepanjang persembahan Ash in the Ashes yang merupakan gerakan pertama TQA bagi mempopularkan Mime di Malaysia.

Aksi kemunculan pertama Ash sebagai model yang melucukan

Persembahan Ash in the Ashes: The Mime Show secara ringkasnya bertemakan cinta manusia serta makna cinta dalam kehidupan manusia. Ash merupakan watak utama dalam cerita ini diceritakan kisah hidup Ash dari awal sehingga menemui cintanya iaitu The Magician (acab) kemudian bagaimana Ash terpaksa menghadapai cabaran dalam cintanya. Watak lembaga hitam atau melambangkan kisah hitamnya seolah-olah menceritakan kepada penonton begitu bermakna cinta bagi Ash.

Aksi solo acab sebagai The Magician memainkan watak kekasih kepada Ash


Bibit percintaan ash (watak lelaki dan perempuan secara mime)

Persembahan Ash in the Ashes adalah berbentuk tragik-komedi malah membuktikan bahawa persembahan Mime bukan sekadar bergenre komedi seperti kebiasaannya, namun boleh diolah dan dipelbagaikan. Dalam Ash in the Ashes, pengarah telah berjaya memasukkan unsur sentimental atau emosi di akhir babak cerita selain komedi bagi menceritakan kehidupan Ash yang bahagia di awal pertemuan dengan cintanya. Tidak dinafikan juga, pelakon cukup berusaha bagi mempelbagaikan teknik pergerakan Mime bagi menzahirkan setiap apa yang ingin disampaikan kepada penonton. Cabaran kepada pelakon juga adalah bagi mewujudkan emosi dalam setiap plot cerita walaupun tanpa bersuara.

Aksi Ash yang penuh emosi dan perlu bermain dengan mimik muka serta pergerakan tubuh badan secara maksima untuk menzahirkan emosi


Aksi solo Ash sebagai surirumah dalam Ash’s House Chores

Aksi duet dalam Ash Looking for Love

Sepanjang persembahan Ash in the Ashes, penonton disajikan dengan kolektif 11 buah persembahan pecahan daripada persembahan Mime yang direka oleh pelakon dan pengarah juga. Kesinambungan daripada 11 pecahan persembahan Mime ini merupakan keseluruhan cerita dalam Ash in the Ashes. Ini merupakan salah satu keistimewaan persembahan Ash in the Ashes.

Berikut merupakan 11 persembahan mime dalam Ash in the Ashes

1. Ash on the Runway:
2. Ash Gearing Up:
3. Ash Looking for Love:
4. Dinner Date:
5. Picnic Proposal:
6. Magic Couple:
7. Ash’s House Chores:
8. Tightrope Walker Tragedy:
9. Marathonic Birth:
10. Ash’s Babies:
11. Ash in The Ashes:

Kedua-dua malam persembahan mendapat respon yang positif namun jumlah penonton tidak begitu memberangsangkan. Namun, itu tidak akan mematahkan semangat pihak kami bagi meneruskan usaha. Ini kerana, objektif kami adalah bukan bergantung kepada bilangan penonton, namun bergantung kepada perasaan penonton yang hadir pada malam persembahan tersebut dan kesannya terhadap penonton.

Ribuan terima kasih kepada semua kru produksi Ash in The Ashes


Pihak TQA dan TTS terutamanya mengharapkan agar sekecil bentuk usaha ini turut dapat membantu serta menyokong kepada dunia seni teater negara. Mungkin pada suatu hari nanti, seni lakonan mime mendapat tempat di hati penonton dan lebih banyak kumpulan teater di luar sana mendekati salah satu seni lakonan ini. TQA bercadang ingin meneruskan misi menjadi pelopor seni lakonan Mime dan itu pasti akan terus-menerus dijulang.

(foto-foto adalah ihsan daripada Azizi)

0 kritikan :