Assalammualaikum dan salam sejahtera, salam persaudaraan.
Dalam tempoh masa sekarang, Tronoh Theatre Shop, Universiti Teknologi PETRONAS dalam usaha menganjurkan program khas yang dinamakan Jerit! Jilid 1: Untukmu Palestin. Bertepatan dengan nama program ini sendiri, 'Jerit!' merupakan buah fikiran atau idea yang diwujudkan untuk menghasilkan jeritan kesedaran berkenaan isu yang berlaku di Palestin yang tentunya bukan dianggap isu semusim. Secara kolektifnya, program ini adalah bertujuan untuk menyalakan api kesedaran serta berharap agar dapat membuahkan tindakan dalam kalangan pelajar atau masyarakat menerusi gabungan kerja seni tidak kira apa cabang seni. Seperti yang sedia maklum, TTS merupakan aktivis teater malah turut menghargai apa jua cabang seni selagi tidak bertentangan dengan apa yang digariskan.
Maka pada malam 9 dan 10 April 2011, sebuah teater 'Suara Kebangkitan' akan dipentaskan dengan gabungan pelbagai bentuk persembahan termasuklah nasyid, band, deklamasi sajak, muzik eksperimentasi dan sebagainya. Yang terlibat pada malam itu adalah terdiri daripada sukarelawan kumpulan pelajar UTP sendiri, seperti Morven, In-Saff, pihak TTS sendiri dan juga sukarelawan daripada luar iaitu Space Gambus Experiment yakni sebuah kumpulan muzik eksperimentasi di Malaysia yang disegani. Gabungan semua sukarelawan aktivis seni ini akan membentuk sebuah persembahan teater pada malam itu, sebagai salah satu cara mencambahkan benih kesedaran, serta menyampaikan mesej terutamanya kepada golongan muda atau pelajar. Setiap keuntungan jualan tiket akan disumbangkan 100% kepada Palestin menerusi Aqsa Syarif.
Unjuran program Jerit! adalah mengadakan aktiviti seni yang lain seperti pertandingan fotografi, pertandingan penghasilan karya 'atas kertas' seperti hasil penulisan sajak, syair, esei, lukisan tangan, poster, selain mengadakan kutipan tabung Untukmu Palestin. Acara paling utama adalah ceramah khas daripada Aqsa Syarif, yakni sebuah badan NGO yang telah bertapak di Malaysia dan banyak menganjurkan misi-misi bantuan dalam usaha membantu warga Palestin dan searah dengannya.
Pada 2 April 2011 bersamaan hari Sabtu, sebuah majlis Perkongsian Pengalaman oleh Wakil Aqsa Syarif telah diadakan. Majlis dihadiri oleh kumpulan sukarelawan Aqsa Syarif dan speaker pada malam itu iaitu Dr Roslan yang juga merupakan pensyarah dari Universiti Sains Malaysia Penang dan telah berkhidmat selama 13 tahun dalam bidang fizik.
Majlis turut dihadiri oleh bukan sahaja warga Malaysia. Beramah dan bersoal jawab setelah selesai ceramah. Sesuatu yang sangat bermakna.
Majlis bermula jam 9.25 malam dan Dr Roslan terlebih dahulu menceritakan sejarah Palestin serta kepentingan Palestin Masjid Al-Aqsa berdasarkan hadith dan Al-quran. Hadirin yang datang diceritakan detik hitam Palestin dirampas oleh orang Yahudi serta dipaparkan gambar-gambar kekejaman Yahudi terhadap orang Islam. Pastinya hadirin yang hadir tersentuh apabila melihat mangsa-mangsa kekejaman yang terdiri daripada golongan lelaki, malah yang lemah seperti wanita dan kanak-kanak. Serangan bom Fosforus yang meletus di bangunan sekolah untuk anak-anak Palestin amat menyayat hati malahan cebisan-cebisan daging mereka yang dimamah bom membuktikan kaum Zionis tidak berhati perut.
Dr Roslan yang pernah terlibat dalam misi bantuan di Lubnan turut berkongsi pengalaman dan rasa sepanjang misi bantuan di sana. Semestinya telah berjaya membawa semua hadirin turut merasai keadaan sebenar di sana.
Dr Roslan sedang berkongsi pengalaman.
Hadirin yang hadir pada malam itu
Hadirin sedang khusyuk mendengar
Perjuangan Syeikh Ahmad Yassin, walaupun buta dan lumpuh, namun bisa lagi memperjuangkan hak orang Islam Palestin. Malah kegigihan Al-Qassam mencipta peluru yang bisa membalas serangan Yahudi, merupakan salah satu input yang disampaikan kepada hadirin malam itu. Realiti dunia pada hari ini dibongkar dan dipaparkan bentuk-bentuk kejahilan masyarakat sekarang yang melemahkan 100 nisbah 1 manusia bergelar Muslim sehingga membuatkan Yahudi/Zionis tertawa kerana telah berjaya merosakkan umat Islam seluruh dunia. Seharusnya Umat Islam sedar lantas membuat tindakan. Diharapkan objektif penganjuran Majlis Perkongsian Pengalaman oleh Aqsa Syarif berjaya dicapai. Malah bukan sahaja berjaya menimbulkan kesedaran tetapi membuahkan tindakan pada masa akan datang.
Hadirin turut bertanyakan pelbagai soalan dan maklum balas hadirin sungguh positif
Suasana di luar dewan yang meriah dan dibanjiri oleh mereka yang sensitif terhadap isu Palestin
Kumpulan sukarelawan Aqsa Syarif dalam kalangan pelajar UTP turut membuka gerai di perkarangan dewan bertujuan mempamerkan bentuk-bentuk usaha yang dapat dilakukan selaku pelajar. Jualan cenderahati dan tayangan video berkenaan Palestin adalah bentuk usaha yang dijalankan. Tidak terkecuali pihak TTS yang turut menjual tiket bagi Teater Amal Jerit! dan terus menerus mengumpul tambahan dana untuk Palestin.
Terima kasih kepada semua yang terlibat pada malam tersebut. Pastinya itu merupakan pengalaman yang sangat bermakna buat semua.
0 kritikan :
Post a Comment