Mahkamah Lorong Bongkar Ketidakadilan

Sunday, March 6, 2011


Selamatlah sejahtera kepada semua. Selepas persembahan Teater Mahkamah Lorong di UiTM Merbok, Kedah, sekali lagi TTS alhamdulillah boleh dikatakan berjaya memikat hati penonton di Bumi Tronoh berdasarkan komen maklum balas yang diterima.

Pada 19 dan 20 Febuari 2011, berlansungnya Teater Mahkamah Lorong di Dewan Serbaguna Universiti Teknologi PETRONAS. Kali ini TTS bukan hanya mementaskan TML malah memberi bonus kepada penonton di Bumi Tronoh dengan dua persembahan khas di awal pementasan TML.

Antara babak dalam teater pendek Kau Bawaklah

Penonton disajikan dengan persembahan Teater Pendek 'Kau Bawaklah' di bawah arahan dan karya SEFA. Teater pendek yang ringkas namun membawa mesej yang berat ini secara ringkasnya bertemakan Ketuhanan. Teater ini mengisahkan tiga orang manusia yang masing-masing bertanding untuk mengejar perkara duniawi di atas pentas yakni dunia untuk menjadi manusia yang hebat dan terbaik, akan tetapi kerana terpedaya terhadap godaan duniawi (seperti kekayaan), mereka semua 'tewas' dan akhirnya menerima 'padah' yakni balasan Allah terhadap dosa dan kesilapan manusia. Persembahan yang simbolik ini menyentuh hati para penonton pastinya menerusi elemen kesedaran atau hubungkaitnya dengan manusia.

Aksi persembahan mime

Seterusnya persembahan diceriakan lagi dengan persembahan Mime atau persembahan tanpa suara, oleh Ash dan Acab. Kisah 'Mencari Cinta' yang dipersembahkan dalam bentuk seni teater tanpa suara, menambahkan lagi keunikan persembahan pada malam itu. Kisah tragik komedi ini tidak berhenti buat para penonton ketawa daripada awal persembahan sehingga tamat. Mungkin persembahan Mime di UTP bukan sesuatu yang baru, namun persembahan pada malam itu membina mood penonton bagi persembahan utama pada malam itu.

Antara aksi dalam mahkamah Lorong Sam Pah Tong

Kemudian disusuli pula dengan persembahan utama pada malam itu, iaitu persembahan Teater Mahkamah Lorong. TML berkisar tentang tragedi pembunuhan Parsi kemudian wujudnya Mahkamah di Lorong Sam Pah Tong bagi menyelesaikan kes tersebut. Terdapat beberapa pandangan atau komen berkenaan persembahan TML. Persembahan TML turut tidak mengecewakan namun terdapat juga beberapa perkara yang perlu diperhalusi daripada segi teknikal mahupun mutu lakonan. Kebiasaannya, pandangan atau komen daripada penonton turut menjadi salah satu rujukan TTS terutamanya bagi meningkatkan kualiti persembahan untuk tujuan keberkesanan dalam penyampaian mesej malah yang paling penting ialah mengangkat skrip penulis khususnya apa yang ingin disampaikan.

Berikut merupakan ulasan daripada petikan Surat Khabar Sinar Harian bertarikh (Selasa) 1 Mac 2011:


______________________________________________________________
Mahkamah Lorong bongkar ketidakadilan

Mahkamah adalah tempat mencari kebenaran. Namun, ada ketikanya berlaku ketidakadilan dalam perbicaraan membuatkan seseorang tidak bersalah menerima hukuman.

Itulah tema diangkat dalam teater Mahkamah Lorong arahan Profesor Madya Dr Shamsul Rahman Mohamed Kutty (Dr Shark) dipentaskan di dewan serbaguna, Universiti Teknologi Petronas (UTP), Perak, pada 19 dan 20 Februari lalu.

Menerusi teater dibintangi ahli Tronoh Theatre Shop (TTS) itu, kisah ditonjolkan mengambil latar sebuah lorong, Jalan Sam Pah Tong yang didiami pelbagai haiwan.

Pelakon yang memegang watak Gagak, Syafiq Faliq Alfan berkata, kehidupan binatang di lorong itu berubah apabila berlaku insiden yang merosakkan keharmonian mereka.

“Terdapat pelbagai haiwan mendiami Jalan Sam Pah Tong termasuk Gagak, Kurap, Mak Ayam dan Parsi. Setiap haiwan membawa karakter tersendiri dan bertanggungjawab mengangkat mesej dalam setiap bait dialog.

“Suatu hari, pembunuhan Parsi seekor kucing mewah kegilaan Gagak dan Kurap menjadikan komuniti binatang itu kucar-kacir dan tertanya-tanya siapa yang membunuh Parsi,” katanya.

Menurutnya, hasil siasatan membawa kepada penangkapan Gagak yang kemudiannya dibawa ke Mahkamah Lorong untuk perbicaraan.

“Semua saksi dipanggil mengemukakan bukti yang menghala kepada Gagak sebagai pembunuh.

“Gagak tidak bersalah mengamuk, namun akhirnya Gagak dan semua binatang lain ditembak mati dalam Ops Gagak. Watak yang merancang semuanya, Mak Ayam yang didalangi lembaga hitam sebagai ‘master mind’ yang tidak diketahui hingga ke akhir pementasan,” katanya.

Seramai 30 krew produksi TTS membuat persiapan selama tiga minggu untuk menjayakan pementasan Mahkamah Lorong.

TTS adalah kumpulan produksi teater, sketsa dan ‘mime’ bernaung di bawah Jabatan Perkhidmatan dan Sokongan Pelajar UTP dan aktif mengadakan persembahan di dalam dan luar UTP.

Menerusi keahlian 50 orang, TTS melahirkan bakat baru lakonan, pengarahan, penulisan skrip, pengurusan pentas dan teknikal.

Sementara itu, Kelab Alumni The Qum Actors di Kuala Lumpur menjadi platform ahli TTS yang sudah bergraduasi dan sedang menjalani latihan industri untuk bergiat dalam teater.
____________________________________________________________________



Begitulah cerita sepanjang persembahan Teater Mahkamah Lorong di Bumi Tronoh. Setiap kejayaan dalam pementasan bukanlah bergantung kepada jumlah penonton yang hadir atau jumlah kutipan tiket, namun yang paling utama ialah adakah penonton 'turut serta' mendalami sesebah persembahan teater. Maka begitulah apa yang kami di pihak TTS. Sokongan daripada semua pihak terutamanya daripada semua kru produksi Teater Mahkamah Lorong tidak kira kru teknikal mahupun pelakon.

Antara barisan kru produksi Teater Mahkamah Lorong


Antara barisan TQA (alumni TTS) yang hadir


Penghargaan kepada penolong pengarah, Atul atas bimbingan dan sokongan bagi menjayakan pementasan TML. Penghargaan yang tidak terkira kepada penulis dan pengarah TML iaitu Dr Shark kerana telah mewujudkan TML. Kepada The Qum Actors (alumni TTS) yang sentiasa menyokong TTS dan turut bersama. Kepada semua penonton ribuan terima kasih kerana sudi hadir.

Mungkin persembahan TML tidak berhenti di sini. TTS bakal mementaskan teater ini dalam konsep yang berlainan di tempat yang berlainan. Untuk mendapat maklumat lebih lanjut, sertai kami di:


Sekian terima kasih daun keledek.

0 kritikan :