Jerit! Melabuhkan Tirai

Saturday, April 16, 2011

Jerit! melabuhkan tirai yang... indah dan pastinya sangat bermakna buat semua, tidak kira sama ada penonton yang hadir pada malam itu, atau kepada semua sukarelawan dan komiti yang memberikan sepenuh jiwa untuk Jerit! Jilid !: Untukmu Palestin.

Oh Assalammualaikum dan salam sejahtera kepada semua. Alhamdulillah, segala yang dirancang bagi menjayakan Jerit! berjalan seperti apa yang digambarkan dan dizahirkan. Bermacam perkara sebenarnya jikalau ingin dibincangkan tentang Jerit! tetapi apa yang pasti, program ini adalah antara produksi Tronoh Theatre Shop yang berjaya pada kaca mata kami sendiri dan diharap sebegitu juga buat penonton yang menjadi saksi.

Mengambil kira gabungan sukarelawan-sukarelawan daripada Aqsa Syarif, Space Gambus Experiment, In-saff, Morven, B-Boy, pendeklamasi sajak yang datangnya daripada pelajar dan aktivis seni maka dapatlah disimpulkan bahawa kejayaan program ini adalah kejayaan bagi semua pihak termasuk penonton kerana berjaya mewujudkan sokongan terhadap isu Palestin! Selaim itu, ini adalah bentuk kolaborasi yang sangat bagus dan patut bagi membuktikan bahawa seni juga bisa menyatukan apa jua pihak tidak kira bangsa, warna kulit mahupun agama. Paling utama adalah bagaimana seni itu boleh digubah menjadi bunga lantas kembang menyebarkan bau yang merangsang jiwa manusia iaitu untuk melahirkan kesedaran. Insya-Allah secara tidak langsung membuahkan tindakan atau menggalakkan inisiatif untuk usaha memperjuangkan kemanusiaan, ketuhanan dan Palestin, seperti mana tema Jerit! pada jilid ini.

Terharu rasanya apabila dapat menggabungkan pelbagai pihak yang mempunyai kelebihan dalam bidang seni ini, lantas bersungguh-sungguh menjadikan seni itu sebagai antara medium yang bisa digunakan untuk mewujudkan kesedaran dalam kalangan masyarakat. Ini adalah bertepatan dengan objektif Jerit! sendiri. Ya! sangat bermakna, dan puas. Begitulah apa yang dapat disimpulkan setelah selesai menamatkan kemuncak Jerit! dengan teater 'Suara Kebangkitan' karya dan arahan Hissam.

Menceritakan suasana pada malam pementasan adalah tidak lengkap seandainya tidak memulakan dengan penghargaan kepada Jabatan Perkhidmatan dan Sokongan Pelajar dan Aqsa Syarif, selaku konglomerat yang menjadi nadi utama bersama Tronoh Theatre Shop bagi menjayakan Jerit!. Pementasan 'Suara Kebangkitan' berlangsung selama dua malam yakni pada 9 dan 10 April 2011 (Sabtu dan Ahad). Kedua-dua malam merupakan acara yang sama kecuali hari kedua, diakhiri dengan penyampaian hadiah pemenang aktiviti sempena Jerit! dan penyerahan tabung atau dana kepada Aqsa Syarif bagi bantuan kepada Palestin.

Acara pada malam kemuncak dimulakan dengan persembahan istimewa daripada Space Gambus Experiment (SGE) iaitu sebuah kumpulan pemuzik eksperimental. Uniknya, kumpulan muzik ini menggabungkan pelbagai jenis alat muzik dan yang paling utama ialah gambus dan boleh dikatakan sejenis muzik fusion dengan alat-alat muzik moden. Tambahan lagi, persembahan pada malam itu adalah secara langsung dan menggunakan teknik improvise maka ianya adalah sesuatu yang juga datang daripada hati dan jiwa. SGE berketerampilan dan gah membuatkan persembahan pada malam itu bertambah unik. Persembahan SGE turut menggunakan teknik visual paparan kekejaman dan keadaan sebenar di Palestin. Gegaran alunan muzik mereka turut diserikan dengan persembahan Cello oleh Timmy Ong selaku ahli TTS yang juga berkemahiran bermain alat muzik. Percayalah gegendang telinga para penonton pada malam tersebut bergetar sehingga ke jiwa!

Paparan montaj Aqsa Syarif selepas itu menyusul bagi memperkenalkan perjuangan sebenar Aqsa Syarif selaku badan NGO yang membantu saudara-saudara di Palestin dan apa jua yang berkaitan tentang isu Palestin. Untuk pengetahuan semua, Aqsa Syarif merupakan badan yang boelh dikatakan masih baru ditubuhkan namun telah banyak misi bantuan darat atau laut yang telah digerakkan. Perjuangan mereka sangat jelas menerusi banyak tindakan dan usaha dalam membantu memperjuangkan Masjid Al-Aqsa malah membela kemanusiaan dan hak manusia.

'Sahabat Aqsa' antara usaha bagi mengajak para pemuda terutamanya bagi sama-sama turut serta menjadi salah satu penyumbang dalam perjuangan! Di sinilah peranan warga pemuda diberikan panduan apakah yang dapat mereka sumbangkan dengan ilmu, kebolehan, mahupun melalui kemajuan peribadi. Rata-rata yang hadir pada malam tersebut adalah pelajar atau warga muda, maka berharap agar misi Aqsa Syarif tercapai untuk menyebarkan perjuangan mereka dan juga perjuangan semua! Tayangan mini dan booth Aqsa Syarif juga menambah rasa perjuangan semua pada malam tersebut.

Berikut merupakan gambar-gambar sekilas sepanjang acara pada malam tersebut. Terima kasih kepada semua pihak yang telribat secara langsung dan tidak langsung!








0 kritikan :