Alumni TTS kita, Pacel, yang juga merupakan ketua kumpulan The Qum Actors ingin berkongsi ilmu dan pengalamannya dalam teater kepada semua warga TTS. Pada entri kali ini, Pacel memperkatakan serba sedikit tentang teknik-teknik asas dalam berteater. Selamat membaca.
Assalamualaikum dan salam sejahtera semua…
Terima kasih saya ucapkan kepada semua yang telah menjayakan pementasan Miao Miao Sang Arnab (MMSA). Hampir seminggu yang lalu kita telah berhempas pulas untuk memastikan pementasan MMSA menjadi satu kejayaan. Malah ia telah terbukti pada malam 21 Julai yang lalu.
Kepada semua, ada beberapa perkara yang terlintas dibenak fikiran saya. Coretan ini tidaklah berkait secara langsung dengan pementasan MMSA. Tapinya, ia berkait rapat dengan teknik asas teater. Teknik asas berteater perlu diambil tahu oleh semua pelakon tidak kira yang lama atau pun yang baru. Seribu kemaafan andai ada yang berkata, “Isk, kenapelah baru sekarang die nak cerite pasal bende ni?”. Saya akui itu kelemahan saya.
Suatu perkara yang terang lagi bersuluh, ada yang melontarkan keluhan sebegini, “Hmm… Kenapa depan penonton baru rase best berlakon?”. Persoalan yang ingin saya lontarkan, bagaimana pula kalau anda berlakon, tapi penonton yang hadir adalah sedikit bilangannya, sangat tidak responsif, tidak prihatin kepada pementasan dan yang lebih teruk lagi apabila mereka mempermainkan pelakon pelakon dengan kata dan reaksi yang kurang enak. Saya yakin, tidak kira samada anda pelakon baru atau lama, emosi anda semua terganggu dan lakonan anda semua tidak menjadi.
Ada seseorang memberitahu saya frasa ini, “Please, either you play to the empty chairs or play to the gallery”. Ini adalah sesuatu yang jelas mustahak dan perlu diambil kira. Samada kita berlakon dihadapan khalayak ramai atau kita berlakon di hadapan kerusi kosong. Penghayatan dan jiwa terhadap watak perlulah sama. Kehadiran penonton seharusnya tiada kena mengena dengan kualiti lakonan kita. Sebab itulah sewaktu latihan atau persembahan yang tiada penonton kita harus memberikan sepenuh penghayatan dan komitmen. Namun, jika penonton yang hadir ramai, maka itu satu bonus kepada semua.
Perkara kedua yang perlu dititikberatkan adalah lontaran vokal serta sebutan patah perkataan yang jelas. Cuba kita fikirkan contoh berikut, “Kau nak pergi mana ha?” dan “Ko nak eee mane a?”. Mungkin pertanyaan yang kedua boleh difahami. Tapi bayangkan anda menonton satu pementasan dan mendengar pertanyaan tersebut disudut yang jauh. Mungkin maksud “Ko nak ee mane a?” tidak sampai sebagai “Kau nak pergi mana ha?”. Maka, patah perkataan yang jelas adalah sangat diutamakan apabila berlakon teater. Menonton teater tidaklah seperti menonton filem di TV, apabila kurang jelas suara, maka dikuatkan nada suara tersebut. Pementasan teater bergantung penuh pada seseorang pelakon.
Pernah saya diberitahu oleh Dr. Shark, bagaimana suara Miss Saigon dalam teater bertajuk ‘Miss Saigon’ kedengaran jelas dalam tempikan orang ramai yang sedang menunggu dari bawah seolah olah sebuah helikopter akan mendarat. Dalam hal ini ada dua perkara yang perlu dilihat. Satu, suara orang ramai yang menjerit. Dua, bunyi helikopter yang kuat. Jadi di mana datangnya vokal yang kuat dan jelas oleh Miss Saigon tersebut?
Vokal yang jelas dan kuat perlu datang dari tolakan suara daripada perut. Cara kita bernafas apabila menghirup udara, perut akan kembung kehadapan dan menghembus udara perut akan kempis. Dalam masa yang sama, begitulah lontaran vokal kita. Kaluarkan vokal dari perut sewaktu menghembus udara keluar dan bukanlah dari tekak. Dengan cara begitu, vokal akan kuat kedengarannya serta bertahan selama manapun pementasan tersebut.
Perkara ketiga, yang perlu diberi perhatian adalah tenaga lakonan yang dilepaskan. Tenaga lakonan seharusnya kekal dan malar sepanjang pementasan. Ini tersangatlah penting. Tenaga lakonan memberi kesan kepada banyak perkara. Tenaga lakonan menceritakan sesuatu pementasan itu hebat atau hambar. Sesorang pelakon perlu faham akan watak yang dibawakan.
Contoh paling mudah adalah pementasan MMSA yang lalu. Tenaga arnab Arn perlulah sentiasa tinggi dan lincah kerana dia memegang watak binatang yang lincah serta memainkan watak ‘subconscious’ Mat. Sama juga apabila kita berbual dengan memberi pertanyaan serta menjawab pertanyaan sewaktu berlakon. Apabila pertanyaan kita hambar, maka jawapan yang diberikan juga menjadi hambar. Tapi, jikalau pertanyaan kita bertenaga maka jawapan kita juga akan menjadi bertenaga. Maka itulah sedikit sebanyak gambaran tenaga untuk sesebuah pementasan. Konsep tenaga ini lebih daripada sebuah pertanyaan.
Untuk sisipan yang akan datang, saya akan menyentuh beberapa perkara lain dalam teknik asas teater. Tulisan mengenai teknik asas teater ini adalah berdasarkan pengalaman teater saya sepanjang menyertai Tronoh Theatre Shop Universiti Teknologi PETRONAS (TTSUTP). Saya amat tidak bersetuju dengan ‘argument’ yang mengatakan “Kalau tiada kelulusan dalam bidang teater, jangan sibuk nak komen pasal teater!”. Kelulusan yang mereka maksudkan hanya ada pada sekeping kertas. Namun pengalaman yang diperolehi tidak mampu dibeli di mana mana.
Terima kasih.
PACEL.
Teknik-teknik Asas Teater
Monday, July 27, 2009Tulisan Akin Muhammad pada 1:31 PM
Subscribe to:
Post Comments
(
Atom
)
3 kritikan :
Stojo!
Stojojojo mojojojo
ps: semoga acab tiada apa-apa dan dilepaskan dibebaskan
jadikan panduan..
Post a Comment